Universiti Selangor

KUALA LUMPUR – Keluhan seorang pelajar yang diterima memasuki Universiti Selangor (Unisel) mendapat perhatian netizen hari ini.

Ia berlaku apabila beliau mendapat mesej daripada pihak pengurusan Unisel yang beliau diterima masuk ke universiti itu untuk melanjutkan pengajian.

Menurut satu entri, pelajar itu memuat naik rasa kecewa  apabila gagal diterima memasuki program Fakulti Undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Tahniah! Anda telah ditawarkan ke sesi kemasukan SEPT 17. Cetak Surat Tawaran di memohon unisel.edu.my/ status/.

“Pendaftaran pada 23/9/17 9 pagi-3 petang. Selamat Mendaftar Unisel,” tulis admin Unisel kepada pelajar berkenaan.

Justeru itu, penerima tawaran melanjutkan pelajaran itu tiba-tiba mengeluh kerana tidak dapat bersama rakan-rakannya melanjutkan pelajaran di UiTM.

“Ermmm. Sebenarnya saya dah boleh USIM, tapi saya nak (Fakulti) Undang- undang UiTM. Saya x nak UNISEL.

“Kenapa bukan UiTM yang mesej saya. Kenapa mesti awak?,” katanya membalas mesej daripada Unisel.

Namun, pelajar berkenaan tersentak apabila menerima mesej balik daripada admin Unisel yang menggesa agar beliau bersyukur kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Bersyukurlah! Anda telah ditawarkan ke universiti. Ramai lagi sahabat-sahabat yang tidak ditawarkan.

“Kalau anda nak tukar universiti kerana kawan-kawan anda tak boleh sekali, ketahuilah bahawa rindu itu indah. Selamat mendaftar,” tulis admin media sosial Unisel. -MalaysiaGazette.