KUALA LUMPUR – Veteran-veteran yang terlibat dengan perjuangan mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 tidak mungkin dapat melupakan peristiwa berdarah yang dilalui demi mempertahankan negara.
Berkongsi pengalaman rintangan suka duka ketika menjadi tetamu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam program Bicara Merdeka yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen hari ini, salah seorang daripada mereka menitiskan air mata selepas terkenangkan rakan-rakannya yang terkorban dalam pertempuran menentang musuh.
Tawel Jailani, yang merupakan bekas anggota Pasukan 69 Komando ketika menceritakan secara ringkas pengalamannya berjuang di dalam hutan memberitahu, keperitan dan kepayahan beliau dan rakan-rakan dahulu sanggup menggadai nyawa.
“Saya masih merasakan lagi susah payah bersama di medan perang menentang musuh.
“Saya lihat sendiri bagaimana kawan saya gugur, ada yang cedera parah dan hari ini saya terkenangkan kawan-kawan saya yang telah pergi.
“Semua telah terkorban, sedangkan saya masih lagi ada, masih hidup dan sambut kemerdekaan hari ini. Sambutan hari merdeka ini adalah kerana jasa dan pengorbanan mereka,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Mohamad Sarif Kalam, bekas anggota tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) berkata, ramai rakan-rakan yang berjuang dengannya untuk mempertahankan negara kerana mahu mencapai kemerdekaan telah meninggal dunia.
Katanya, pada tanggal 31 Ogos 1957 hari Tanah Melayu diumum mencapai kemerdekaan beliau ada terlibat dalam upacara menaikkan bendera.
“Pada hari nak diumumkan kemerdekaan itu saya terlibat sekejap saja lebih kurang dalam 15 minit,” ujarnya.
Rakannya, Oliver Cuthbert Samuel pula berkata, beliau dan Mohamad Sarif diberikan penghormatan untuk menaikkan Jalur Gemilang yang pada ketika itu disebut sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu.
“Pada malam 31 Ogos 1957 itulah saya juga telah menurunkan bendera Union Jack,” katanya yang juga merupakan bekas anggota tentera laut. – MalaysiaGazette