Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mohon jentera parti tidak ambil ringan ramalan Kedah akan jatuh ke tangan pembangkang.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mahu ekoran parti pembangkang itu, jentera parti melipat gandakan usaha menghadapi PRU-14.

“Pemuda UMNO Kedah mohon agar seluruh kepimpinan dan jentera parti tidak mengambil ringan hasil drpd kaji selidik pihak tertentu yg meramalkan kejatuhan BN pada PRU yang akan datang.

“Saranan ini lahir atas dasar tidak mahu parti sentiasa dibuai didalam zon selesa dan sentiasa fokus menggandakan persiapan bagi menghadapi PRU yang akan datang.

“Namun begitu Pemuda UMNO Kedah yakin BN tidak akan tumbang begitu sahaja atas sebab usaha dan pembaharuan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shaiful Hazizy, inisiatif membantu isi rumah melalui bantuan barakah, bantuan pendidikan, dan inisiatif khas anak muda akan menjadi sebab utama rakyat negeri Kedah akan kembali memberi sokongan kpd BN pada PRU yang akan datang.

“Pemuda UMNO Kedah yakin gaya kepimpinan “cara Kedah” yg diamalkan oleh Ahmad Bashah semakin popular dan diterima oleh rakyat,” katanya lagi.

Namun, katanya, hasil kajian pembangkang tidak harus kita tolak mentah-mentah. Kita perlu mencari asas dan sebab daripada hasil kajian ini.

“BN Kedah tidak harus berada di zon selesa dan pada masa yg sama sentiasa berada didalam “sindrom penafian”,” katanya.

Menurutnya, BN Kedah perlu buat tapisan lebih daripada satu kerana tidak boleh buat kesilapan. Harus diingat kelekaan dan zon selesa telah membuat BN tumbang pada PRU ke 12 dan BN sama sekali tidak menyangka bahawa mereka akan tumbang di Kedah pada waktu itu.

“Oleh yang demikian Pemuda UMNO Kedah yakin faktor “kebimbangan” mampu membentuk benteng politik yg lebih kukuh di Kedah. Kita tidak seharusnya berada di zon selesa kerana ianya mampu mengundang keputusan yang tidak dijangka,” jelasnya.- MalaysiaGazette