MEKAH – Jemaah dipercayai tertua menunaikan haji tahun ini, Cik Maria Marghani Mohammed, 104, menghargai layanan istimewa yang diberikan ketika berada di negara itu bagi menunaikan ibadah haji.

Menurut laporan Al-Arabiya, Cik Maria mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Arab Saudi, Raja Salman, atas layanan baik yang beliau terima.

Beliau menekankan bahawa perhatian dan jagaan tersebut mencerminkan semangat murah hati dan tahap perkhidmatan yang diberikan Arab Saudi kepada tetamu dan jemaahnya.

Maria yang berasal dari Indonesia itu meluahkan rasa gembiranya kerana akses dari suatu tempat ke tempat lain dirasakan selesa dan selamat ekoran dari layanan dan khidmat yang diberikan daripada kerajaan Saudi.

Beliau yang berasal dari Pulau Lombok dilaporkan menunaikan umrah pada tahun 2007.

“Ini adalah mimpi yang menjadi kenyataan bagi kami untuk bersama dia menunaikan haji. Beliau sangat tua, tetapi kuat dan cekal.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi, Raja Salman dan warga Arab Saudi atas layanan dan sikap murah hati mereka dalam menyambut kami,” menurut cucu Cik Maria, memetik laporan Al-Arabiya. – MalaysiaGazette