Yusof Yacob

KUALA LUMPUR – Laporan penuh siasatan kes salah laku dan penyelewengan kuasa yang dikaitkan dengan Tan Sri Annuar Musa sudah dihantar kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Majlis Mara, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, laporan tersebut disiapkan pada bulan lalu dan kini terpulang kepada menteri yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Kita dah selesai buat siasatan, penemuan-penemuan ini laporan sudah lengkap dan laporan sudah dihantar ke kementerian yang menjaga.

“Maknanya kuasa sepenuhnya YB Menteri yang menjaga Mara, Datuk Ismail Sabri Yaakob, untuk tindakan lanjut kita serah sepenuhnya kepada kementerian,” kata Yacob dalam sidang media selepas majlis penyerahan tugas kepada Pengerusi baharu, Datuk Dr Awang Adek Hussin di Ibu Pejabat Mara di sini hari ini.

Yacob sebelum ini dilantik sebagai pemangku Pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) selepas Annuar digantung tugas Januari lalu.

Jelasnya, selain siasatan yang dijalankan Mara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat kes itu namun pihaknya tidak masuk campur kerana ia bukan bidang kuasa mereka.

“SPRM ada buat siasatan sendiri tapi kami tidak boleh masuk campur kerana mereka ada bidang kuasa mereka sendiri,” katanya.

Kemelut dalaman Mara tercetus selepas Annuar dikaitkan dengan isu tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan.

Isu berkenaan tercetus selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Mara dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja TRW.

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

Bulan lalu, Annuar menyatakan hasrat tidak berminat lagi untuk menjadi Pengerusi Mara dan mahu menumpukan tugas kepada kerja parti. – MalaysiaGazette