KUALA LUMPUR – Program Quick Ride menyediakan peluang meraih pendapatan untuk graduan dan penganggur sebagai pemandu Uber dengan memajak kereta Proton pada kadar RM45 atau RM55 sehari
Pengerusi Eksekutif Koperasi Amanah Pelaburan Bhd. (KAPB) dan juga Pengerusi Quick Ride Sdn. Bhd, Datuk Ilyas Mohamed berkata, pihaknya memperkenalkan aplikasi khidmat pengangkutan baharu itu menerusi jalinan kerjasama antara Uber dan Peredaran Otomobil Sdn.Bhd.
Program Khidmat Quick Ride diwujudkan oleh Quick Ride Sdn. Bhd. dengan usahasama Kumpulan Cartrade di bawah KAPB.
Katanya, Quick Ride Sdn.Bhd akan memajakkan kereta baharu Persona dan Saga yang diedarkan oleh Proton kepada individu berkelayakan untuk menjadi rakan pemandu bersama rangkaian e-hailing Uber di sekitar Lembah Klang.
“Kita mensasarkan penganggur dan graduan serta orang yang mahu meningkatkan pendapatan mereka menerusi peluang tambahan dalam dunia kos sara hidup agak mencabar ini.
“Mereka yang memenuhi segala kriteria dan syarat yang ditetapkan berpeluang (memiliki) kereta sewa baharu dengan kadar RM45 sehari (Saga) atau RM55 sehari (Persona).
“Penumpang perkhidmatan Quick Raide akan menikmati kemudahan jalur lebar (WiFi) percuma dalam kereta dan khidmat tablet interaktif yang disediakan ditempat duduk belakang untuk rujukan perjalanan,” katanya kepada pemberita seleps pelancarannya di Menara Bank Rakyat di ibu negara.
Justeru katanya, permohonan sebagai pemandu boleh diperolehi dalam laman web rasmi www.quickride.my dan pemohon yang berjaya perlu tampil ke ibu pejabatnya untuk menandatangani kontrak perjanjian selama tiga tahun beserta bayaran deposit RM1,000.
Setiap pemohon yang berjaya diwajibkan membuka akaun simpanan baharu bersama CIMB Bank untuk urusan gaji.
“Malah mereka boleh mengambi kereta baharu di ibu pejabat Proton dan Quick Ride, dan kontrak mereka akan diperbaharui setiap tiga tahun dengan menggantikan kereta baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, sebagai permulaan proton mensasarkan pengedaran 1,000 buah kereta menjelang Januari 2018 untuk Quick Ride dan 10,000 unit kereta untuk dua tahun seterusnya.
“Kita menyediakan perkhidmatan kereta yang selesa dan dilengkapi aspek keselamatan yang lebih berkualiti untuk pemandu Uber serta penumpang sendiri.
“Saya percaya penawatan Saga 1.3L Standard CVT dan Persona 1.6L Standard CVT akan menjadi pilihan terbaik untuk pemohon pemandu Uber menerusi khidmat Quick Ride.
“Kita juga menyediakan penyelenggaran percuma untuk tiga tahun atau (60,000 kilometer) dan 5 tahun jaminan (150,000km) untuk memastikan pemanduan selesa,” tegasnya.
Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Quick Ride Sdn.Bhd, Mohamed Fahmi Ilyas berkata, sejak dibuka permohanan pada 27 Ogos lalu, pihak setakat ini telah menerima 380 permohonan dan 40 daripadanya diluluskan.
“Permohonan setiap individu akan diproses dalam masa 48 jam dengan teliti oleh pihak kami dan juga Uber Malaysia melibatkan beberapa kriteria termasuk data rekod pemanduan pemohon.
“Permohonan akan ditolak sekiranya pemohon gagal menepati kriteria yang ditetapkan oleh salah satu daripada syarikat kami,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan memperluaskan kerjasama dengan penyedia e-hailing lain dipasaran seperti Grab di masa akan datang sekiranya perlu.- malaysiagazette