Home Nasional 3 direman bantu siasatan tuntutan palsu RM23.6j

3 direman bantu siasatan tuntutan palsu RM23.6j

Tiga individu termasuk seorang pengurus Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) dibawa oleh pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan permohonanan reman untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tuntutan invois palsu sebanyak AS$5.56 juta (RM23.65 juta) di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Seorang pengurus kanan Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) dan dua individu lain direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes tuntutan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) bagi projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Perintah reman bermula hari ini hingga 11 September itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman, pagi tadi.

Dua individu lain yang ditahan reman itu termasuk dua pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor yang dipercayai melaksanakan projek dan bekas pembantu teknikal syarikat cari gali.

Pengurus kanan itu pernah dilantik mengetuai projek itu ditahan di pejabatnya petang semalam manakala yang lain ditahan di kediaman masing-masing.

Suspek dikatakan telah mengemukakan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor itu antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.

Tuntutan itu dipercayai dilunaskan oleh syarikat cari gali berkenaan kepada syarikat kontraktor terbabit tetapi tiada kerja dilakukan bagi tuntutan yang dibuat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette