Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kiri) melancarkan Surau Al Hijrah semasa membuat lawatan di Pejabat Agrobank, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membidas pemimpin DAP, Tony Pua sebagai ‘otak beku’ dengan mendakwa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disebabkan oleh UMNO yang banyak berhutang.

Tajuddin berkata, tuduhan Pua itu satu fitnah dan berniat jahat bertujuan untuk memburukkan nama UMNO, serta mencadangkan supaya tindakan saman diambil.

“Apa kita buat semua tak betul, otak beku dia ni, tak nak dengar cakap orang. Ini satu tuduhan jahat dan berbaur fitnah.

“Itu satu fitnah dan dia (Tony Pua) nak kena ini. Saya nak saman dia. Saya nak cadangkan UMNO ambil tindakan mahkahmah terhadap dia.

“Mana ada UMNO ambil duit negara, satu sen pun kita tak ambil duit negara,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Beliau berkata pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di ibu pejabat Agro Bank di Kuala Lumpur, Rabu.

Jelas beliau, GST diperkenalkan adalah untuk kegunaan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Hasil cukai GST kita gunakan untuk beri kemudahan negara dan rakyat seperti membayar gaji kakitangan kerajaan, membuat jalan raya, membina sekolah dan pelbagai lagi.

“Jadi apa masalahnya dia kata negara tiada duit disebabkan UMNO yang buat hutang? Apa masalah dia, sibuk tuduh UMNO berhutang, jangan-jangan dia yang banyak hutang,” ujarnya.

Semalam, Pua mendakwa GST terpaksa dilaksanakan kerana tindakan Kerajaan Persekutuan yang diterajui UMNO dan BN telah gagal menguruskan kewangan negara akibat terlalu banyak berhutang.

Lantaran itu, Pua mendakwa, kerajaan UMNO-Barisan Nasional memilih untuk melaksanakan cukai regresif tersebut bagi menampung bebanan hutang ditanggung negara yang kian bertambah dari tahun ke tahun.

Dakwaan Pua tersebut jelas amat bercanggah seperti yang diumumkan Perdana Menteri, bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan berfungsi tanpa pelaksanaan GST yang dikuatkuasakan sejak April 2015 kerana pendapatan negara terlalu bergantung dengan hasil minyak yang mengalami ketidakstabilan harga di pasaran dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast