Saksi, Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (tengah) hadir di Mahkamah Rayuan untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an diberitahu bahawa bank induk itu mengalami kerugian 10 kali ganda daripada pelaburannya pada 1988.

Menurut saksi keenam belas, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz memberitahu ahli lima panel RCI bahawa BNM mengalami kerugian sejumlah RM31.506 bilion pada tahun antara 1991 hingga 1994 ekoran urus niaga mata wang.

“Jumlah kerugian keseluruhan dialami BNM dalam urus niaga forex bagi 1988 dan 1989 ialah RM3.503 bilion dan bagi tahun 1991 hingga 1994, kerugian ialah RM31.506 bilion.

“Keuntungan pada 1990 ialah RM2.473 bilion,” katanya memberikan kenyataan.

Dr. Zeti mula berkhidmat di BNM sejak 1981 dan dilantik sebagai Gabenor Bank Negara pada 2000.

Ditanya sejak bila beliau tahu mengenai kerugian yang dihadapi BNM, jawab Dr. Zeti, beliau mendapat tahu perkara itu pada 1994 ketika bekerja di pejabat Bank Negara di London.

“Pada masa itu saya masih bekerja di pejabat di London dan saya hubungi pegawai kanan di BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan diberitahu BNM mengalami kerugian daripada pengurusan rizab,” katanya. – MalaysiaGazette