Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbincang sesuatu dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (kanan) dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri) ketika hadir Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Datuk Seri Najib menekankan supaya kesemua parti komponen terus bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Ujarnya, Najib yang juga Pengerusi BN tidak risau akan persefahaman yang terjalin antara parti komponen BN kerana ia berada pada landasan yang betul.

“Penting (persefahaman antara komponen parti) sekarang jangan kita benarkan apa sahaja perkara yang dibangkitkan memecahbelahkan kesatuan antara komponen yang ada dalam BN.

“Ini ditekankan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak. Saya rasa penerimaan Presiden dari parti komponen pun memahami sangat konsep BN dalam keadaan pembangkang berkecamuk dan tidak ada hala tuju yang jelas,” katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Najib dan dihadiri presiden komponen parti antaranya MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; MIC, Datuk Seri S. Subramaniam; Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong; myPPP, Tan Sri M. Kayveas dan pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili.

Jelas Hishammuddin, dalam keadaan pembangkang yang bercakaran sesama sendiri, komponen BN perlu lebih erat dalam memastikan hala tuju untuk mengekalkan kuasa pada PRU14 akan datang.

“Kita BN mesti pastikan bahawa gerakan kita ke arah PRU14 berada dalam keadaan baik dan tidak berpecah-belah,” tambah Hishammuddin.

Terdahulu, Najib yang juga Presiden UMNO mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN petang ini adalah yang kedua diadakan bagi tahun ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaludin; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil dan Setiausaha Agung UMNO dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – MalaysiaGazette