Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad, Datuk Wira Azhar Hamid ketika tiba di lobi Menara Felda memulakan tugas hari pertama sebagai Pengerusi FGV yang baharu. foto SAFWAN MANSOR, 11 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pengerusi baharu Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Wira Azhar Abdul Hamid mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga pengarah dan pengurusan utama syarikat itu pagi ini.

Beliau yang memulakan tugas pada hari ini tiba di Menara Felda, di sini pada pukul 8.15 pagi tadi disambut Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz di lobi menara itu.

Pada Jumaat lalu,  Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Azhar yang mengambilalih jawatan itu daripada pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Najib berkata, beliau yakin Azhar yang memiliki pengalaman luas mampu mengetuai FGV dengan berkesan dan pada masa yang sama dapat meningkatkan keyakinan pelabur, dan menterjemahkannya dalam bentuk harga saham syarikat yang lebih kukuh.

Azhar sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Malakoff Corporation Bhd. dan pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette