Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) kerugian lebih RM32 bilion dipercayai berpunca daripada tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba mengubah peranan institusi perbankan negara seperti ‘kasino’.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, tindakan Mahathir itu merupakan satu perbuatan jenayah apabila sanggup memperjudikan wang rizab negara dalam urus niaga mata wang asing atau forex.

“Mahathir merupakan perdana menteri ketika itu menukar (peranan) BNM menjadi kasino dan kalah dalam perjudian di abad ini. Tindak tanduk Mahathir telah menjatuhkan reputasi dan kedudukan BNM di mata dunia.

“Ia sesuatu yang memalukan apabila integriti, profesionalisme dan kebolehpercayaan BNM dalam kalangan perbankan pusat dan komuniti kewangan dunia sudah tercemar,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian BNM bernilai lebih RM32 bilion akibat urus niaga mata wang asing sekitar tahun 1990-an di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman, Putrajaya, minggu lalu.

Katanya, tindakan Mahathir itu juga telah menyebabkan negara mengalami krisis kewangan seperti mana yang dialami oleh Mexico pada 1994.

“Saya tidak mengatakan BNM tidak perlu campur tangan dalam urus niaga mata wang asing untuk mengukuhkan rizab dan menstabilkan kadar pertukaran dan membetulkan salah urus dana,” katanya.

Katanya, pelaburan dengan menggunakan rizab negara dalam urus niaga mata wang asing itu juga merupakan satu tindakan yang terburu-buru tanpa memikir dan mengira kesannya kepada dana awam.

“Mahathir perlu bertanggungjawab dan kerosakan itu telah pun berlaku dan kita tidak boleh mengembalikan kebolehpercaya masyarakat antarabangsa terhadap BNM,” katanya. – MalaysiaGazette