KOTA TINGGI – Setiap parti komponen dalam kerajaan Perpaduan perlu menghormati antara satu sama lain dalam menjaga perpaduan dan keharmonian.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana kekuatan gabungan kerajaan Perpaduan adalah hasil daripada kerjasama yang terjalin sebelum ini.
“Saya percaya setiap parti dalam kerajaan dalam mana-mana pembentukan sesebuah kerajaan gabungan perlu ada perasaan menghormati parti-parti lain (dalam gabungan sama).
“Ini kerana kita (parti komponen) bekerjasama menubuhkan kerajaan (Perpaduan), jadi mesti ada hormat-menghormati,” ujarnya yang juga Menteri Pertahanan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kampung Angkat Madani di Felda Kampung Baru Pasak, di sini, hari ini.
Beliau mengulas khabar angin berkenaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang didakwa akan keluar parti bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau tidak menerima sebarang pemakluman berkenaan perkara tersebut dan setakat ini Tengku Zafrul juga tidak ada bertemu dengannya untuk membincangkan perkara berkenaan.
“Jadi kita tak dapat mengesahkan berita berkenaan,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Ahmad Zahid berkata, parti yang dibentuk dalam kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengambil ahli parti lain dalam gabungan itu bagi menjaga ‘hati’.
Justeru, beliau menasihati semua parti dalam kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga perpaduan yang terbina dalam gabungan tersebut sebaiknya.
Tengku Zafrul hari ini berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette
















