KUALA LUMPUR – UMNO perlu memperkukuh kekuatan dalaman dan berdiri atas kaki sendiri sebelum menentukan bentuk kerjasama dengan mana-mana rakan strategik dalam menghadapi perkembangan politik akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu antara cabaran yang disampaikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya mengenai hala tuju dan masa depan parti.
Menurut beliau, UMNO perlu menilai kekuatan sendiri bagi memastikan parti itu lebih kuat, ampuh dan berintegriti untuk berdepan apa juga cabaran politik.
“Saya amat meneliti ucapan Timbalan Presiden tentang hala tuju dan masa depan UMNO dalam membentuk kekuatan parti supaya kita lebih kuat, lebih ampuh dan lebih berintegriti.
“Ini persoalan yang dibangkitkan Timbalan Presiden supaya kita menilai diri sendiri bagi menempuh apa juga halangan dalam politik. UMNO kena pergi atas kaki sendiri,” katanya.
Beliau bekata demikian ketika ditemui media selepas ucapan Mohamad pada Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka di sini malam ini.
Ab Rauf berkata, UMNO juga perlu mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan kekuatan dan kemampuan parti sendiri.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemungkinan untuk menjadikan mana-mana parti sebagai rakan strategik UMNO boleh dipertimbangkan apabila tiba masanya.
“Rakan-rakan strategik ini boleh dipertimbangkan nanti untuk menjadi rakan strategik kepada parti UMNO. Bagaimanakah kita fokuskan dalam politik ini, itu nanti kita akan tengok.
“Apabila tiba waktu dan ketikanya, kita boleh perhalusi apakah bentuk kesepakatan yang boleh kita lakukan, sesuai dengan apa yang telah berlaku di Johor dan Negeri Sembilan,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengalu-alukan rundingan selepas Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan. – MalaysiaGazette
















