Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka berdepan kekalahan di Melaka dan Selangor sekiranya strategi penyatuan ummah antara Pas dan UMNO berjaya diterjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, gelombang penyatuan ummah yang dicetuskan parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu bakal diperkukuh menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, sekali gus menjadi ancaman serius kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Menurut beliau, perkembangan itu susulan laporan yang mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi isyarat bahawa PH bersedia untuk berdepan UMNO dalam PRN Melaka akan datang.

“Di saat pimpinan PH masih gagal mencerap idealisme perjuangan Islam dan epistemologi Pas, parti ini melalui Tan Sri Presiden Pas telah membawa perjuangan penyatuan ummah melangkah jauh ke hadapan sehingga 2051 melalui Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, WINS 2051 dirangka sempena 100 tahun penubuhan Pas pada 2051 dengan memberi tumpuan kepada aspek integriti, keadilan sosial, kestabilan, kemakmuran ekonomi, pengagihan kekayaan, pendidikan, kesihatan, kebajikan serta keharmonian masyarakat majmuk.

Katanya, agenda berkenaan turut diterjemahkan menerusi pelan pembangunan jangka panjang dan sederhana di negeri ditadbir Pas antaranya Kelantan Future State (KFS) 2033, The Greater Kedah (TGK) 2050 dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

“Pas mempunyai kelebihan tersendiri dan UMNO juga mempunyai keistimewaannya tersendiri, termasuk pengalaman mentadbir serta membangunkan negara ini di Putrajaya.

“Gabungan Pas dan UMNO melalui strategi penyatuan ummah ini, sekiranya berjaya, bakal mencipta kuasa besar baharu Melayu Islam yang lebih kukuh dan stabil dalam Dewan Rakyat pasca PRU-16,” katanya.

Faizzuddin menegaskan, penyatuan ummah bukan matlamat, sebaliknya strategi untuk membangunkan negara serta mewariskan sebuah negara yang makmur dan bersih daripada pemimpin politik yang korup serta tidak bermaruah.

Beliau turut mendakwa, wacana Malaysian Malaysia dan negara sekular yang diangkat DAP bakal menjadi cabaran utama yang akan ditentang Pas dan UMNO pada PRU-16.

“Sekiranya penyatuan ummah ini berjaya diterjemahkan dalam PRN Melaka dan Selangor, insya-Allah PH akan berputih mata di dua negeri ini.

“Selangor yang dikatakan sebagai kubu kuat PH bakal bertukar menjadi kubur kepada perjalanan dan masa depan politik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here