KUALA LUMPUR – UMNO menggesa pihak tertentu menghentikan amalan politik dendam dan ugutan dengan membangkitkan semula isu-isu lama membabitkan pemimpin terdahulu semata-mata untuk menyekat kebangkitan semula parti itu di mata rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, tindakan mengungkit tuduhan lama yang sudah bertahun-tahun berlalu disifatkan sebagai satu medan kezaliman baharu yang langsung tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, tindakan pendedahan serta proses perundangan yang tiba-tiba kembali memuncak ketika sokongan rakyat dilihat mula beralih semula kepada Barisan Nasional (BN) menimbulkan persoalan mengenai kecenderungan politik pihak tertentu.
“Kenapa perlu ulangi sekali lagi politik dendam dalam pentadbiran negara kita? Perkara itu sudah bertahun-tahun berlalu, kenapa sekarang baru hendak buat?
“Bagi pemikiran rakyat di luar sana, ini semua adalah pendakwaan politik semata-mata untuk memburukkan satu-satu parti yang sedang meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui menerusi program temu bual SKOP MG sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini.

Mohd Razlan yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan sesetengah pihak menggunakan kuasa pentadbiran serta saluran media bagi membentuk persepsi buruk dan memberi tekanan terhadap pemimpin parti lawan termasuk menerusi pelbagai dakwaan berkaitan isu integriti adalah tidak wajar.
“Sekiranya perkara-perkara itu diteruskan dengan menekan orang-orang yang tidak langsung ada kaitan, tak tahulah saya nak cakap macam mana.
“Orang yang berkuasa, mereka boleh buat apa sahaja yang disuka. Jadi, kita tunggulah proses selanjutnya.
“Bagi pandangan saya, perkara-perkara ini rakyat akan menilai,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Razlan secara terbuka membidas tindakan pimpinan DAP yang didakwanya menggunakan kuasa dalam Kerajaan Perpaduan untuk mengugut institusi undang-undang, termasuk Peguam Negara (AG).
“Desakan untuk membuka semula kes-kes membabitkan pimpinan UMNO termasuk 47 pertuduhan yang pernah dilepaskan terhadap Ahmad Zahid merupakan satu tindakan yang tidak matang dan melampaui batas.
“Bila mereka suruh buka balik kes 47 itu, mereka secara langsung mengugut Peguam Negara dengan kuasa yang mereka ada.
“Mereka ada seluruh jentera kerajaan hari ini. Kalau Peguam Negara, Ketua Setiausaha atau Setiausaha Bahagian tak dengar cakap, boleh tukar 24 jam.
“Ini adalah ugutan yang langsung tidak masuk akal dan tidak matang.
“DAP dahlah ugut Perdana Menteri kononnya nak keluar kerajaan kalau tidak lakukan reformasi… tetapi sampai sekarang tak ada apa-apa yang dibuat, kenapa tak keluar? Hanya ugut untuk memenuhi kehendak mereka dan nak tarik balik sokongan rakyat,” katanya lagi.
Mohd Razkan turut menyifatkan polemik sedemikian amat merisaukan rakyat kerana pihak yang lantang melaungkan reformasi keadilan dan pemisahan kuasa kehakiman sebaliknya menjadi pihak yang mendesak serta mengugut di sana sini.
“Kerana itu pentingnya ikhlas dan political will dalam kalangan ahli politik untuk menghentikan amalan berkenaan demi kestabilan negara.
“Kalau ada kesalahan, ambil tindakan ikut saluran undang-undang. Jangan kita gunakan perkara itu pada waktu yang kita nak gunakan sahaja. Biarlah rakyat menilai apa yang mereka lakukan terhadap pemimpin-pemimpin ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO tidak mahu terikut-ikut dengan permainan politik dendam sebaliknya berjiwa besar dengan menumpukan perhatian kepada tawaran dan formula penyelesaian isu sosioekonomi rakyat menerusi platform PAU 2026. – MalaysiaGazette
















