Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mengingatkan seluruh ahlinya agar tidak bersikap bongkak atau terlalu selesa dengan kejayaan yang telah diraih sebaliknya menginsafinya demi memperkukuh kedudukan parti.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, peringatan itu selaras dengan pesanan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu seluruh jentera kekal berpijak di bumi nyata walaupun telah mencatatkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini di Johor dan Negeri Sembilan.

“Itu adalah satu pesanan dan kita sentiasa mengingatkan diri supaya kemenangan ini kita insafi, bukan untuk kita menjadi bongkak dan sebagainya.

“Sebaliknya, kita ambil kemenangan ini sebagai satu suntikan semangat untuk kita terus melangkah dan menguatkan lagi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ucapan Perasmian Serentak Wanita, Pergerakan Pemuda & Pergerakan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Mengulas mengenai amanat Mohamad, Nurul Amal berkata, ucapan Timbalan Presiden jelas menekankan agenda menyatukan dan memperkukuh UMNO di samping peka terhadap denyut nadi rakyat.

“Ucapan Timbalan Presiden lebih kepada bagaimana kita mahu menguatkan rumah UMNO dan memastikan kita membaca sentimen rakyat dengan betul supaya UMNO kembali menjadi rumah kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menyentuh mengenai persidangan sayap Puteri esok, beliau berkata, sesi perbahasan oleh wakil-wakil negeri akan memberi tumpuan kepada wacana ilmiah berhubung isu-isu yang dekat dengan golongan wanita muda.

Jelas beliau, perbahasan kali ini tidak akan menjurus kepada usaha mencemuh atau menghentam mana-mana pihak.

“Esok kita akan bahaskan isu-isu yang melibatkan wanita muda secara lebih ilmiah. Kita tak ada nak mengata orang, cuma bincangkan apa yang perlu selaku sayap yang mewakili wanita muda.

“Puteri UMNO hari ini bertekad mahu memastikan kami terus menjadi suara utama kepada wanita muda di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here