KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh lagi bergantung atau ‘menumpang’ dengan mana-mana parti lain, sebaliknya perlu memperkukuh kekuatan parti dengan kemampuan sendiri menjelang pilihan raya umum akan datang.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kesatuan dan permuafakatan dalam parti perlu diperkukuhkan bagi memastikan UMNO terus mempunyai kekuatan untuk berdepan pilihan raya pada bila-bila masa.
Katanya, ahli UMNO khususnya sayap Wanita, Pemuda dan Puteri juga tidak seharusnya terlalu selesa dengan kemenangan kecil yang dicapai sebelum ini.
“UMNO tidak boleh lagi menumpang dengan mana-mana parti dan UMNO juga perlu kuatkan parti kita dengan kaki sendiri.
“Kita juga mengharapkan ahli-ahli UMNO tidak seronok dengan kemenangan kecil itu,” beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Aras 4, 5 dan 6, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Menurutnya, hala tuju yang diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, menunjukkan kesatuan serta permuafakatan parti perlu dibentuk dari dalam.
Beliau berkata, UMNO juga perlu terus menyantuni rakyat secara maksimum, selain memperkukuh Barisan Nasional (BN) yang disifatkannya sebagai tunjang pembangunan negara.
“Kita lihat arus pembangunan di Malaysia ini semuanya datangnya daripada UMNO dan Barisan Nasional, maka saya melihat kekuatan Barisan Nasional itu perlu dikuatkan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata, kemasukan hampir 40,000 ahli baharu ke dalam Rumah Bangsa dalam tempoh kira-kira tiga bulan selepas pembukaannya menunjukkan masih terdapat rakyat, khususnya golongan muda, yang menyedari peranan parti itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli baharu dan rakyat Malaysia yang memilih untuk bersama UMNO.
Katanya, perkembangan itu membuktikan masih ada golongan muda yang melihat BN sebagai parti yang membawa negara ke landasan yang betul.
“Jutaan terima kasih kepada semua ahli-ahli yang baru dan juga kepada rakyat Malaysia, khasnya kepada orang-orang muda yang telah pun sedar dan hakikatnya parti yang membawa negara ini ke satu landasan yang betul tidak lain tidak bukan iaitu Barisan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette
















