Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong bercakap pada Program Podcast MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 22 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) digesa tidak menjadikan agenda reformasi, kedaulatan undang-undang dan perjuangan memerangi rasuah sebagai alat politik mengikut kepentingan sendiri semata-mata.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata, prinsip tersebut sememangnya disokong, namun rakyat berhak mempersoalkan sama ada ia benar-benar diamalkan secara konsisten oleh PH.

Menurutnya, kedaulatan undang-undang harus dihormati dalam semua keadaan termasuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan serta kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam isu pengampunan, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, manakala Lembaga Pengampunan adalah sebahagian daripada kerangka berkenaan.

“Janganlah hari ini PH bercakap tentang prinsip dan institusi, tetapi pada masa sama cuba mempertikaikan atau menghadkan prerogatif institusi itu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Choo Seong yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) turut merujuk kenyataan media Majlis Setiausaha PH bertarikh 8 September yang melaungkan semula komitmen terhadap agenda reformasi dan banteras rasuah.

Tegasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini pernah menjelaskan kepada umum bahawa isu pengampunan yang berada di bawah Perkara 42 mempunyai kedudukan tersendiri dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah Anwar juga merupakan anggota Lembaga Pengampunan manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

Tambah Choo Seng, PH tidak boleh mengambil pendirian seolah-olah mereka di luar daripada proses dan institusi yang mereka sendiri anggotai.

“Kita tidak pertikai hak mahkamah menjatuhkan hukuman, tetapi apabila Perlembagaan menyediakan ruang pengampunan, ruang itu juga perlu dihormati.

“Jangan guna slogan ‘Rule of Law’ untuk menutup hakikat bahawa sistem kita ada prinsip belas ihsan dan kuasa pengampunan,” jelasnya.

Tambah Choo Seong, agenda anti-rasuah tidak sepatutnya dijadikan senjata politik dan standard yang sama mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kawan atau lawan.

“MCA dan BN akan terus menyokong usaha membanteras rasuah dan ketirisan, di samping kekal mempertahankan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu.

Terdahulu, Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan agenda reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Ini termasuk memastikan individu yang telah disabitkan kesalahan menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.

Gabungan itu memberi dukungan penuh terhadap usaha Kerajaan Madani dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

Menurutnya, PH turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes berkaitan disiasat secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here