Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia digesa memberi tekanan terhadap Kerajaan Myanmar dengan mengenakan sekatan perdagangan sebagai langkah untuk menghentikan penindasan ke atas etnik Rohingya di Rakhine.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sekatan perdagangan itu boleh dikenakan melibatkan barangan pengguna dan bahan bakar.
“ASEAN juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif. Tiada makna wujudnya satu kesepakatan ekonomi serantau seperti AEC sekiranya negara-negara anggota dibiarkan bertindak menzalimi warga di wilayah sendiri.
“Kezaliman tersebut mungkin mendatangkan kesan negatif kepada seluruh rantau ASEAN dengan radikalisasi dan ekstremisme kelompok-kelompok tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tindakan lebih 270,000 umat Islam Rohingya yang melarikan diri dari wilayah Rakhine, Myanmar ke Bangladesh bagi mencari perlindungan kemanusiaan.
Media antarabangsa melaporkan, kebanyakan kampung-kampung etnik Rohingya telah diserang oleh tentera Myanmar di wilayah Rakhine menampakkan kesan-kesan seperti pembersihan etnik.
Wan Azizah juga berkata, sekatan itu perlu dilakukan segera memandangkan Yangon masih tifdak mengendahkan sebarang saranan dan kecaman daripada seluruh masyarakat antarabangsa.
“Mereka bukan saja tidak mencari jalan penyelesaian kepada isu Rohingya, malah terus angkuh menindas dan menzalimi kumpulan etnik tersebut.
“Pemenang anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi, juga gagal menunjukkan keprihatinan dan simpati terhadap etnik Rohingya dalam krisis kemanusiaan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast