KUALA LUMPUR – Sembilan atau 3.7 peratus daripada 243 sampel limau mandarin yang dianalisa didapati tidak mematuhi kadar maksimum residu racun perosak di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM 1985), Akta Makanan 1983.
Berikutan itu, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, semua sampel berkenaan telah dilupuskan.
Menurutnya, analisa itu dilakukan menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makana (PKKM) yang bermula November lalu.
“Setiap pengimport yang terlibat dalam pelanggaran tersebut akan dikenakan pemeriksaan tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) pada kemasukan seterusnya dengan konsainan makanan akan ditahan bagi tujuan pensampelan dan kelulusan pelepasan hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisa mematuhi standard yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan.
KKM berkata, pemantauan dilakukan di semua 70 buah pintu masuk negara dilakukan khas bagi limau mandarin yang diimport sempena musim perayaan untuk memastikan semua limau mandarin yang memasuki negara mematuhi standard di bawah PPM 1985, Akta Makanan 1983.
“Berdasarkan data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) negara China, Afrika Selatan, Jepun, Australia dan Mesir merupakan pengeksport utama limau mandarin ke Malaysia sepanjang tahun 2024,” tambahnya.
Menurut KKM, pihaknya juga mengadakan Ops Tahun Baharu Cina di seluruh negara bermula 19 Januari sehingga 1 Februari bagi memastikan makanan yang dijual di pasaran selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983.
Sehubungan itu, pengimport makanan diingatkan supaya bertanggungjawab terhadap makanan yang diimport.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan yang berlaku, pengguna juga boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut:http://moh.spab.gov.my dan https://www.facebook.com/bkkmhq,” ujar KKM. -MalaysiaGazette