Iklan promosi pesta arak "Better Beer Festival 2017"

KUALA LUMPUR – DAP didakwa akan tetap meneruskan penganjuran pesta arak “Better Beer Festival 2017” yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 6 Oktober ini, meskipun menerima bantahan daripada pelbagai pihak khususnya Pas.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan semua pihak berhak melakukan sebarang aktiviti selagi tidak menyalahi undang-undang.

Beliau yang menyelar bantahan Pas terhadap penganjuran itu meminta supaya bekas sekutunya itu memahami Malaysia sebuah negara majmuk yang tidak diduduki oleh Pas sahaja.

“Ini satu demokrasi jadi semua orang ada kebebasan untuk menentang tetapi orang lain juga ada kebebasan untuk menguruskan yang tidak menyalahi undang-undang.

“Jadi, dia juga kena fahamlah ini masyarakat majmuk. Malaysia ini bukan ada orang Pas sahaja, ramai orang bukan PAS dan majoriti lebih pada orang bukan PAS.

“Dia boleh teruskan protes dan kita boleh teruskan dengan aktiviti,” katanya seperti dilapor sebuah portal hari ini.

Pas sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada akan mengadakan protes terhadap penganjuran kali keenam pada tahun ini oleh syarikat arak, MyBeer (M) Sdn Bhd.

Ia bukanlah kali pertama Pas membantah acara seumpama itu. Pada 2014, parti itu lantang membantah penganjuran pesta `Octoberfest’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast