Noh Omar

KUALA LUMPUR – Pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, dekat sini, ada membuat permohonan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan mengemukakan pelan bangunan.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, pelan struktur bangunan itu tidak menepati spesifikasi ditetapkan dan pihak JBPM tidak memberi kelulusan.

Katanya, mengikut pelan asal, struktur bangunan itu terutama di tingkat tiga berkonsepkan terbuka iaitu tidak mempunyai dinding, selain ada dua tangga keselamatan.

“Pihak bomba telah mengesahkan (menerima permohonan), kita belum lagi memberikan kelulusan, tapi pusat tahfiz ini telahpun beroperasi.

“Saya naik ke tingkat atas tadi, tembok (dinding) yang membahagikan bangunan itu sepatutnya tidak wujud kalau mengikut penyelarasan.

“Dari segi peraturan ditetapkan bomba, pusat tahfiz ini belum mendapat kelulusan. Sepatutnya, sebelum beroperasi, bomba kena datang untuk memberikan pengesahan sebelum diberikan sijil kelayakan menduduki,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Noh berkata, kementerian ada membuat perancangan daripada segi undang-undang dan peraturan terutamanya melalui peraturan JBPM sebagai langkah mengelakkan kebakaran.

Katanya, melalui perancangan itu jika kalau berlaku kebakaran pun sekurang-kurangnya tidak menyebabkan kemalangan sepertimana yang mengorbankan nyawa 25 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan.

Mengenai maklum balas masa selepas menerima panggilan kecemasan, beliau berkata, anggota bomba bertindak pantas dan berjaya menyelamatkan lima pelajar yang berada di tingkat atas pusat tahfiz itu.

“Sangat pantas, respon time hanya tiga minit. Kita dapat panggilan jam 5.41 pagi dalam jam 5.44 pagi anggota bomba sudah sampai di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, mengikut kajian bomba, kebakaran ini dipercayai berlaku lebih awal, jadi kemungkinan orang awam membuat panggilan lewat ke balai bomba.

“Apabila bomba sampai, api sudah mula merebak dan dengan kecekapan anggota bomba telah berjaya menyelamatkan lima pelajar, tetapi yang lain tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Ditanya langkah diambil kementeriannya menangani masalah kebakaran melibatkan pusat tahfiz, maahad dan pondok pengajian agama, Noh berkata, pihaknya telah melancarkan Skuad Bomba Tahfiz.

“Dari kajian, kita dapati banyak berlaku kebakaran melibatkan sekolah tahfiz. Kejadian berpunca daripada bangunannya yang tidak mengikut peraturan. Sebab itu kita mewujudkan Skuad Bomba Tahfiz,” katanya.

Beliau merayu dan menyeru kepada semua pengetua pusat tahfiz agar mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku seperti mengutamakan aspek keselamatan bangunan dan asrama demi nyawa pelajar serta guru.

“Ambillah apa yang berlaku ini sebagai iktibar. Kebanyakan pelajar tinggal dan tidur di asrama. Keselamatan mereka perlu diutamakan.

“Panggillah pegawai bomba datang ke pusat tahfiz kita supaya mereka dapat membuat pengesahan dan beri nasihat bagaimana langkah-langkah yang harus diambil untuk mengelakkan kebakaran,” katanya. – MalaysiaGazette