KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 van jenazah dari masjid sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan membawa mangsa korban Tahfiz Darul Quran Ittafaqiyah ke tanah perkuburan masing-masing, hari ini.
Kesemua van jenazah didapati diletakkan di bahu jalan berdekatan Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur sementara menunggu keputusan padanan DNA yang dijangka selesai kira-kira 3.30 petang ini.
Sementara itu, pihak polis dan pasukan RELA mengawal ketat pintu masuk dan lalu lintas di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.
Turut kelihatan ahli keluarga dan waris pelajar tahfiz berkenaan memenuhi pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara bagi menuntut mangsa korban kebakaran itu.
Kelihatan ahli keluarga dan waris tenang dan terkawal dan mereka difahamkan berada di Institut Perubatan Forensik Negara seawal jam 8.30 pagi tadi.
Awal pagi semalam, insiden kebakaran di Pusat Darul Quran Ittafaqiyah, Datuk Ketamat di sini mengorbankan 23 warganya termasuk seorang warden. – MalaysiaGazette