KUALA LUMPUR – Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang hari ini turut menyebabkan berlaku tanah runtuh di kawasan penempatan.

Keadaan banjir yang agak teruk selepas hujan lebat berterusan bermula tengah malam tadi hingga tengah hari ini memaksa 95 penduduk melibatkan 34 keluarga dari Teluk Kumbar dan Bukit Kechil, Balik Pulau dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Mereka ditempatkan  di pusat pemindahan banjir di Dewan Perda, Teluk Kumbar dan Surau Haji Hashim di Balik Pulau.

Di Setia Greens, Sungai Ara berlaku kejadian tanah runtuh dipercayai berpunca dari aliran deras air hujan yang menyebabkan kawasan penempatan di situ digenangi lumpur.

Tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Jalan Empangan Air Itam dan Jalan Tun Sardon.

Setakat ini, antara kawasan paling teruk dilanda banjir kilat ialah Balik Pulau, Sungai Pinang, Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Mak Mandin, Raja Uda, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Perai dan Bukit Tengah serta beberapa sekolah di sekitar Butterworth.

Kebanyakan penduduk yang terlibat dengan banjir enggan berpindah malah memilih untuk tinggal di rumah masing-masing kerana air hanya naik antara 0.5 meter hingga satu meter tetapi mereka akan dipindahkan jika keadaan semakin teruk.

Turut dinaiki air ialah di Kampung Masjid, Kampung Makam, Kampung Mutiara, Batu Feringghi, Masjid Negeri, Ayer Itam dan Kampung Masjid Hashim Yahya. – MalaysiaGazette