Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendengar aspirasi salah seorang peserta pada Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Kluster Keselamatan di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Di sebalik pelbagai spekulasi tentang punca kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu sebarang kemungkinan dikemukakan kepada Pasukan Khas Siasatan yang akan ditubuhkan.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut bagi memberikan keadilan kepada 23 mangsa kebakaran termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan.

“Sebarang kemungkinan akan dikemukakan ke jawatankuasa yang saya sebut dan kita akan maklum kepada umum kalau ada unsur-unsur jenayah dan unsur-unsur​ luar dari kesalahan teknikal termasuk litar pintas di premis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi Dialog Perdana Transformasi Nasional (TN50) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.

Menurut Zahid, penubuhan jawatankuasa itu berikutan pertemuan dengan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Noor Ibrahim, dan juga Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh semalam.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata siasatan pihaknya mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas.

Malah katanya, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

Terdahulu Zahid berkata Pasukan Petugas Khas siasatan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah harus menggunapakai syor yang telah disenaraikan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Keselamatan Sekolah Agama selepas tragedi Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya, Yan, Kedah, pada 1989.

Seramai 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan ditemui rentung ekoran kebakaran tersebut.

Daripada jumlah itu, 12 jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, Ampang selepas semua proses kenalpasti identiti selesai di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). -MalaysiaGazette.