Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Siasatan perlu dijalankan segera bagi mengenalpasti punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah di Jalan Keramat Ujung yang mengorbankan seramai 23 pelajar termasuk dua gurunya awal pagi semalam.

Gesaan itu dibuat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang melihat kejadian berkenaan telah mendapat perhatian umum dan hasil siasatannya boleh meredakan keadaan keluarga mangsa, disamping dapat dijadikan rumusan oleh pihak berkenaan agar tragedi sama tidak berulang.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd. Azmi Abdul Hamid, setiap pusat pengajian agama perlu mengutamakan aspek keselamatan bangunan dan faktor itu adalah jelas kerana ia melibatkan pelajar di bawah umur 20 tahun.

Kata beliau, walaupun tragedi itu di luar jangkaan, tetapi pihak pengurusan pusat tahfiz mahupun maahad dan pondok pengajian agama perlu mengambil langkah keselamatan secukupnya.

“Kita berharap selepas ini semua pusat pengajian agama melakukan kerja pemeriksaan bangunan agar strukturnya berada dalam keadaan selamat dan boleh digunakan untuk menampung jumlah pelajar,” katanya di sini, hari ini. – MalaysiaGazette