Home Nasional Bersatu padu demi kemajuan negara – Tiong Lai

Bersatu padu demi kemajuan negara – Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Malaysia pastinya menjadi sebuah negara yang progresif dan bersatu padu jika rakyat berpendirian teguh dan menyokong antara satu sama lain.

Ini kerana, setiap rakyat di negara ini mempunyai peranan yang tersendiri, bukan sahaja dalam merancakkan pembangunan negara, malah juga dalam memelihara kepelbagaian budaya, tradisi dan warisan di Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, asas itu perlu diperkukuhkan dalam pembangunan negara untuk diwarisi generasi masa depan meskipun akan ada pihak yang mahu memecah-belahkan.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Jelas beliau, Hari Malaysia bukan sahaja menandakan kelahiran Malaysia, malah juga meraikan semua kejayaan yang telah dikecapi selama ini.

Dari mengorak langkah sebagai peneraju sektor pertanian sehinggalah transformasi kita menjadi sebuah negara yang berasaskan pengeluaran dan ekonomi berteraskan eksport, Malaysia telah menyesuaikan diri, berkembang, dan membangun sejak tahun 1963.

“Sambutan peristiwa penting dalam sejarah negara kita pada hari ini memberi peluang untuk kita menghayati dan mendalami semangat Negaraku Sehati Sejiwa.

“Tema Bersatu Demi Malaysia yang Lebih Teguh ini juga adalah pengiktirafan usaha gigih bapa-bapa pengasas negara dan visi mereka untuk mewujudkan sebuah negara yang berjaya.

“Nilai-nilai yang mereka pamerkan iaitu berganding bahu dalam persefahaman dan penghormatan merupakan perkara yang harus dijadikan pegangan dan amalan sebagai rakyat yang
benar-benar menghayati makna sehati sejiwa,” ujarnya. – MalaysiaGazette