Afiq Muqri Haron 'bertemu' buat kali terakhir dengan sahabatnya yang merupakan salah seorang mangsa dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 SEPTEMBER 2017.

GOMBAK – “Walaupun umur saya dan arwah jarak jauh, kalau dia hafal susah, dia akan rujuk kepada saya, dia akan kacau sampai saya layan dia, baru saya ajar,” kata Afiq Muqri Haron, 18.

Hubungan akrab Afiq dengan Allahyarham Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi, 13, menyebabkan dia pitam sebaik mengetahui rakan baiknya itu merupakan salah seorang daripada 23 pelajar Darul Quran Ittifaqiyah yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.

Dia yang baharu sahaja seminggu berpindah ke madrasah di Melaka dibawa pulang ibu bapanya untuk ‘bertemu’ Ahmad Harith buat kali terakhir di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah Karak di sini.

“Mula-mula tahu tentang kemalangan ini, saya terus jatuh pitam di sekolah terkejut kerana baharu lepas jumpa minggu lalu,” katanya dalam nada hiba semasa ditemui di tanah perkuburan.

Rakan karib, Afiq Muqri Haron tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat jenazah sahabatnya Allahyarham Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi yang merupakan salah seorang mangsa dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 SEPTEMBER 2017.

Afiq berkata, dia sememangnya sudah merancang untuk berjumpa Ahmad Harith dan rakan-rakan lain di madrasah Keramat Ujung itu untuk beriadah bersama, bagaimanapun hajatnya tidak kesampaian.

“Memang saya berniat nak balik jumpa beriadah dengan mereka kerana mereka beriadah pada Rabu dan Jumaat sahaja.

“Memang niat nak jumpa mereka tapi tak sempat,” katanya.

Afiq menceritakan keakraban dengan rakan baiknya itu walaupun jarak usia yang jauh yang disifatkan seperti abang dan adik.

“Memang baik, selalu setiap petang saya akan buat aktiviti beriadah dengan dia, basuh baju sekali dan sejak masuk memang rapat.

“Walaupun umur saya jarak jauh, kalau dia hafal susah dia akan rujuk kepada saya, dia akan kacau sampai saya layan dia baru saya ajar,” katanya.

Afiq masuk ke madrasah tersebut sebelum Hari Raya Aidiladha baru-baru ini bagi menambahbaik teknik menghafal Al Quran dan kemudiaannya perlu pulang ke madrasah asalnya, Madrasah Al-Qurra di Melaka.

Afiq terkenang kisah janji antara beliau dengan Ahmad Harith Adam mahu berlumba-lumba cepat menghafal.

Rakan karib, Afiq Muqri Haron menimbus tanah ke dalam liang lahad sahabatnya yang turut terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Allahyarham Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 SEPTEMBER 2017.

“Dia pernah berjanji dengan saya dia akan cuba menghafal lebih laju dari saya,” katanya.

Dalam tragedi semalam, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran pada 5.15 pagi tadi.

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Selain itu, 14 pelajar yang terselamat kini berada di Hospital Kuala Lumpur di mana dua daripadanya berada di zon merah dan tiga di zon kuning.

Sejak tahun 2011, sebanyak 31 kes kebakaran terjadi di sekolah tahfiz berlaku dengan jumlah kerugian RM1.4 juta. – MalaysiaGazette.