KUALA LUMPUR – Malaysia menjalin hubungan baik dengan kerajaan China, Arab Saudi dan Amerika Syarikat untuk kepentingan negara dan rakyat.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat termasuk pembangkang yang memfitnah kononnya Malaysia akan bangkrap harus tahu apa yang dilakukan ketika beliau sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri.
“Mana ada negara yang ada hubungan baik dengan China, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. Saya adakan kerjasama ini untuk negara kita Malaysia dan masa depan kita khususnya.
“Dalam lawatan saya berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, saya dapat sambutan luar biasa yang diberikan oleh Trump,” katanya berucap pada Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Dewan Tun Razal 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Kira-kira 16,000 masyarakat Cina dari pelbagai persatuan dan gabungan Cina seluruh negara menghadiri perhimpunan itu yang diadakan serentak dengan Hari Malaysia.
Menurut Najib, masyarakat Cina di negara ini memang mahu diberi pengiktirafan dan mereka akan terus menyumbangkan kepada pembangunan negara.
Beliau turut melahirkan rasa bangga kepada masyarakat itu yang tidak mahu dipersoalkan komitmen serta semangat patriotik mereka kepada negara tetapi cukup menilainya menerusi sumbangannya.
“Perhimpunan bermakna ini diadakan tepat pada waktunya iaitu ketika kita menyambut Hari Malaysia bersama rakan kita dari Sabah dan Sarawak.
“Kita semua menghargai kerajaan Malaysia berdasarkan kerjasama permuafakatan yang ditunjukkan semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.
Najib turut menyindir pembangkang yang mengkritik kepimpinannya dengan menanam dakyah kebencian dalam kalangan rakyat supaya tidak menerima kerajaan Barisan Nasional (BN).
Oleh itu, beliau menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah dan propaganda pembangkang sebaliknya menetapkan dalam minda bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang bekerja dan sentiasa memikirkan masa depan mereka.
“Jangan kritik tak tentu pasal wahai pembangkang. Dakwa kononnya kita gadai negara kepada China, kepada Arab Saudi dan kemudian kepada Amerika Syarikat.
“Saya pergi ke China, saya bawa balik nilai pelaburan berjumlah RM144 bilion. Pembangkang kata saya telah jual kedaulatan negara kepada China.
“Saya nak tanya, pada tahun 1980-an, pemimpin yang memimpin selama 22 tahun melaksanakan dasar pandang ke timur, kenapa tidak bangkitkan negara kita telah dijual kepada Jepun,” katanya yang disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Katanya, beliau kesal apabila beliau mengadakan kerjasama ekonomi dengan China, pembangkang terus menuduhnya mahu menjual Malaysia kepada negara itu.
“Pelaburan yang saya buat ini berjaya. Apabila kita eksport produk kita ke China, rakyat yang untung. Penanam durian yang untung kerana durian mereka tidak cukup bekalan di sana. Pekebun kelapa sawit kita untung kerana China menambah jumlah import kelapa sawit,” katanya.
Daripada segi pelancongan, kata beliau, sepanjang tahun lepas kira-kira 2.3 juta pelancong China datang ke Malaysia dan dijangka bertambah kepada tiga juta sehingga akhir tahun ini.
“Saya dimaklumkan bilik hotel tidak cukup kerana limpahan pelancong China ke sini,” kata beliau.
Beliau turut menyentuh mengenai kejadian banjir kilat di Pulau Pinang semalam dengan berkata, jika DAP menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, rakyatnya akan ‘berenang’ bermain air.
“Kalau DAP menang, rakyat ‘berenang’,” katanya. – MalaysiaGazette