PULAU PINANG – Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang membidas Kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan melaksanakan pelbagai projek dilakukan secara rakus dan hanya mengejar keuntungan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Safuan Ujar berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya melaksanakan pembangunan secara terancang dan lestari bagi mengelak kejadian banjir yang semakin kerap berlaku.

Menurut beliau, keseluruhan rancangan pembangunan Pulau Pinang ketika ini memerlukan pelan baharu supaya tidak berterusan dilanda banjir.

“Banjir yang berlaku jelas memberi kesan buruk kerana rakyat menanggung kerugian dan beban selain pelbagai sektor akan terjejas.

“Oleh itu, impian untuk membangunkan serta memajukan negeri ini akan pincang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya Kerajaan DAP Pulau Pinang gagal mengambil langkah konkrit, bencana banjir kilat akan menjejaskan ekonomi negeri.

Ujar beliau, langkah mencari pendapatan besar dan meluluskan permohonan projek pembangunan secara gelojoh adalah polisi tidak menguntungkan kerana pada akhirnya kerajaan negeri terpaksa berbelanja besar untuk menangani banjir.

“Kita tidak mahu orang luar beranggapan sekiranya masuk ke Pulau Pinang, ia menjadi perangkap kerana banjir yang sering berlaku.

“Ia seharusnya menjadi pengajaran berguna kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang. Ingin saya ingatkan kita masih menghadapi cuaca normal dan bukan fenomena luar biasa,” katanya.

Selain itu, Ahmad Safuan turut mempersoal sikap membisu Kerajaan DAP Pulau Pinang yang masih gagal mengemukakan penyelesaian jitu untuk menangani banjir.

Dalam masa sama, beliau mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang membayar pampasan kepada semua mangsa yang mengalami kerugian ekoran banjir kilat buruk semalam.- MalaysiaGazette