Mat Nadzari Ahmad Dahlan
KUALA LUMPUR – Perjuangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara terbukti masih relevan susulan penyertaan semula Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam UMNO menunjukkan pembangkang gagal menangani isu berkenaan.
Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, bekas Menteri Besar Selangor itu sudah membuat perbandingan perjuangan pembangkang itu gagal ketika menyertai mereka sejak lima tahun lalu.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor berlapang dada dan menerima keputusan Majlis Tertinggi UMNO menerima semula Tan Sri Mat Taib.
“Ia juga menunjukkan perjuangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara masih relevan kerana sudah pasti Tan Sri Mat Taib sudah membandingkan perjuangan pembangkang dengan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Muhammad menyertai semula parti pemerintah itu dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar di Menara Datuk Onn, di sini, hari ini.
Najib menjelaskan, keputusan Muhammad, yang juga bekas Menteri Kabinet UMNO itu dibuat selepas beliau hilang kepercayaan pada pakatan pembangkang terutama PKR.
Mengulas lanjut, Mat Nadzari berkata, penyertaan semula Muhammad ke dalam UMNO dan BN boleh mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti pemerintah itu khususnya kembali berkuasa di Selangor.
“UMNO dan BN Selangor turut berharap pengalaman Tan Sri Mat Taib semasa berada di luar UMNO akan dapat dikongsi bagi memperkasakan gerak kerja parti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast