Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh salah seorang mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah ketika melawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur. foto Ihsan Twitter Msia PM Press Office, 17 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, barisan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini melakukan yang terbaik dalam memberi rawatan kepada empat mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa, Khamis lepas.

Perdana menteri meluangkan masa melawat mangsa berkenaan hari ini sejurus tiba di Kuala Lumpur selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu semalam.

“Saya telah melawat empat mangsa ini sebentar tadi..saya dapati bahawa mereka berada dalam jagaan yang sangat baik. Doktor-doktor di HKL telah dan sedang melakukan yang terbaik. Menurut pendapat yang diberikan doktor, mangsa ada peluang baik untuk sembuh.

“Bagaimanapun proses sembuh itu agak perlahan. Kita sama-sama berdoa mudah-mudahan mereka dapat pulih,” katanya ketika ditemui pemberita.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tan Sri Othman Mustapha.

Ditanya adakah mangsa dapat bercakap dengan beliau, Najib berkata dua daripada mereka boleh bercakap.

“Dua lagi mangsa dalam keadaan ‘heavily sedated and ventilated’ (dalam keadaan tidur dengan bantuan alat penafasan) kerana terlalu banyak asap dalam paru-paru mereka. Mereka berdua ini tidak boleh bercakap,” kata perdana menteri.

Namun beliau yakin dengan kepakaran doktor HKL yang mampu memberi rawatan terbaik kepada kesemua mangsa.

Dalam kejadian awal pagi Khamis itu, 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz di Datuk Keramat di sini terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat berkenaan yang turut mencederakan tujuh yang lain.

Tiga daripada mereka dibenar meninggalkan HKL malam tadi. – Bernama