SUBANG JAYA – Seramai 25 mangsa letupan di Putra Heights hari ini menerima pinjaman kereta daripada Chery Malaysia untuk kegunaan harian selama sebulan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, 25 buah kereta lagi akan diserahkan kepada mangsa-mangsa yang memohon, Isnin ini.
“Peminjam-peminjam turut menerima duit minyak RM100 daripada syarikat berkenaan,” ujar beliau selepas majlis serahan kereta pinjaman daripada Chery Malaysia kepada mangsa insiden letupan di pusat penempatan sementara (PPS), Masjid Putra Heights, di sini.
Ujar Amirudin, selain Chery Malaysia, syarikat-syarikat lain termasuk Caresome Malaysia turut menyerahkan 50 buah kereta, Carro (30) dan GoCar (20) dan DRB-HICOM sebanyak 62 buah.
Menurutnya, seramai 112 permohonan pinjaman kereta sementara turut dikemukakan setakat pagi ini melibatkan 200 tawaran.
Ujar Amirudin, Chery Malaysia turut menyumbang RM50,000 untuk kegunaan PPS bagi menampung bil utiliti di masjid berkenaan.
“Sumbangan itu jika tidak menampung keseluruhan bil, akan membiayai sebahagian perbelanjaan masjid berkenaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette















