MELAKA – Penolong pegawai perubatan hospital maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang dipercayai membelok masuk ke simpang di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa, Mohd Amirul Ikhmal Saifullizam, 32, yang bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Melaka, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda ADV 160 dan Proton Saga.
“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Taman Sutera Wangi menghala ke Peringgit.
“Pada masa sama, datang sebuah Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dari arah Peringgit masuk ke simpang Taman Ikhsan menyebabkan motosikal mangsa dari arah bertentangan gagal mengelak dan membrek sebelum merempuh sisi kiri kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu Mohd Amirul Ikhmal mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu kereta terbabit serta tiga kanak-kanak berusia sembilan dan 10 tahun yang merupakan anak dan anak jirannya dalam kenderaan berkenaan turut cedera.
“Kesemua empat mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan telinga sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
“Pemeriksaan awal di lokasi mendapati tiada kesan brek atau geseran ditemukan di atas jalan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















