BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melupuskan barang rampasan bernilai RM3.14 juta membabitkan 58,941 unit pelbagai barangan bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, barang rampasan itu membabitkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Katanya, barang rampasan yang dilupuskan diperoleh daripada pelbagai premis dan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk di pasar malam serta pasar raya atau hypermarket.
“Eksibit yang dilupuskan ini terdiri daripada pelbagai jenama pakaian, beg dan aksesori wanita, alat ganti kenderaan, aksesori motosikal, alatan jentera, produk makanan, produk penjagaan kesihatan serta aksesori dan peranti elektronik berjenama tiruan.
“Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 58,941 unit yang telah selesai menjalani proses pendakwaan dan pengampunan,” katanya di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Negeri Pulau Pinang di Bukit Minyak di sini, hari ini.
Tambah Jegan, sepanjang tempoh berkenaan, Bahagian Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang turut melaksanakan pemeriksaan terhadap 58,805 premis dan menghasilkan 761 tindakan kes membabitkan pelbagai kesalahan.
Katanya, tindakan berkenaan membabitkan nilai rampasan RM4,847,055, manakala RM591,100 nilai kompaun dikeluarkan membabitkan 565 kes.
“Manakala 12 kes pula melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM94,500.
“Daripada tindakan kes kompaun dan pendakwaan itu, sebanyak 140 kes membabitkan barang sitaan dilupus dan dilucut hak untuk dijadikan hasil kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, nilai pelupusan barang kes adalah RM1,862,518 manakala hasil jualan barang kawalan yang dijadikan hasil kerajaan berjumlah RM193,371.
“Selain itu, hasil jualan barang kawalan yang dikembalikan adalah RM53,923 manakala hasil jualan kes barang kawalan semasa bernilai RM1,032,010 dan hasil jualan sebut harga serta tender barang rampasan, termasuk jualan sisa, sebanyak RM4,400.
“Nilai keseluruhan pelupusan barang kes yang dikumpulkan adalah RM3,146,223,” katanya.
Mengulas penguatkuasaan terhadap penjualan barangan tiruan secara dalam talian, Jegan berkata, pihaknya turut menjalankan operasi secara proaktif termasuk menyamar sebagai pembeli bagi mengesan penjual.
Bagaimanapun, katanya tindakan terhadap penjualan barangan tiruan secara dalam talian agak sukar kerana alamat penjual boleh berubah-ubah, namun pihaknya menggunakan pelbagai taktik sehingga berjaya menumpaskan sindiket yang menjual jersi palsu.
“KPDN juga mengharapkan bantuan orang awam untuk membuat aduan bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti produk yang mendapat permintaan di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















