Maskot rasmi, Para RIMAU semasa acara Pembukaan Sukan Para ASEAN ke 9 KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 SEPTEMBER 201
KUALA LUMPUR – Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017) yang dibuka secara rasminya malam ini bukan sekadar pertandingan biasa, sebaliknya ia adalah pentas menunjukkan keazaman golongan istimewa ini untuk meraih kejayaan.
Demikian kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sambil memberi jaminan untuk memastikan temasya ini tidak dipandang rendah malah sama taraf dengan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“Kamu semua bukan biasa, kamu semua atlet Para Malaysia, yang telah mengharungi segala cabaran, yang telah mengatasi segala rintangan. Rintangan fizikal, rintangan intelektual, rintangan yang kami tidak boleh hendak bayangkan.
“Atlet yang diberi penghormatan dan diraikan malam ini bukanlah biasa. Mereka adalah luar biasa. Di sebalik cerita mereka, terselit segala jerit perih yang sukar digambarkan untuk sampai ke tahap ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Para KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Katanya, ketika ramai melihat ketidakupayaan, atlet kurang upaya ini melihat dengan kemampuan dan kekal bersemangat untuk meraih kemenangan.
“Para KL2017 bukanlah hanya sebuah pertandingan, ia adalah satu temasya bagi meraikan semangat dan keinginan luar biasa atlet paralimpik untuk berjaya,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) berkata, penganjuran Para KL2017 dibuat secara serius sejak dari awal lagi.
“Malaysia dengan penuh bangga menjadi salah satu daripada beberapa negara yang memberi layanan sama rata seperti atlet normal.
“Kami mahu Para KL2017 menjadi sebuah pentas hebat dalam meraikan semangat atlet yang luar biasa ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast