I

BELUM pun hilang air mata mengenangkan kematian tragis sekumpulan pelajar dan guru tahfiz di Keramat kini sekali lagi dirundung kesedihan.

Sedih kerana hasil siasatan polis mendapati kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat akibat perbuatan khianat yang melibatkan remaja lebih kurang sebaya dengan mangsa-mangsa.

Motifnya kerana ejek-mengejek, bengang dan bertindak diluar kematangan fikiran.

Kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh membuatkan kita berbangga mempunyai pihak berkuasa yang cepat dan cekap bertindak.

Dalam masa yang sama, kita sedih melihat suspek merupakan sekumpulan remaja.

Bayangkan. Sudahlah tidak bersekolah kebanyakan mereka positif dadah pada usia belum mencapai 20 tahun.

Pengaruh dadah hendak pula sintetik memberi kesan buruk kepada mereka sehingga ‘berani’ melakukan perkara diluar batas.

Terserahlah kepada polis dan undang-undang menentukan hukuman kepada mereka.

Tahniah juga kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana rakaman CCTV mereka membantu siasatan polis.

Ya, itu semua kuasa tuhan tetapi ‘hukuman’ sebenarnya kepada kita sendiri.

Pertama, ia membuka mata perlunya garis panduan dan penguatkuasaan keselamatan di pusat tahfiz dan pondok agama di negara ini bukan sekadar retorik.

Tolonglah, pastikan semua aspek keselamatan dipatuhi sebelum membenarkannya beroperasi macam proses membuka taska yang memerlukan kelulusan agensi keselamatan sebelum diluluskan.

Jika penempatan sementara di tanah wakaf sekali pun, pastikan aspek keselamatan jadi prioriti.

Jika tidak arahkan sahaja operasi ditutup. Habis cerita, jangan ada lagi kompromi.

Jika ada pengetua hanya menjawab terserah kepada tuhan (beroperasi di premis tidak mematuhi prosedur keselamatan) kerajaan jangan lagi bertolak ansur.

Ini kerana ia sendiri bertentangan dengan konsep tawakal dalam Islam.

Kita mahu pusat tahfiz pada masa depan dilengkapi ciri-ciri keselamatan walaupun kita tidak mampu melawan takdir.

Perlu diingat, institusi tahfiz melibatkan imej agama Islam.

Lagi pun, kejadian pusat tahfiz terbakar, dilanda tanah runtuh bukan sekali dua berlaku.

Tragedi Pondok Pak Ya pada tahun 1989 sebenarnya sudah cukup menjadi iktibar.

Jangan lagi kita buat sebarang tuduhan lagi tanpa usul periksa dan cepat ‘menyalahkan’ pengurusan tahfiz, agensi kerajaan, menteri dan ibu bapa.

Cukuplah. Ini ada ahli politik pembangkang dan kerajaan dituduh sebagai punca dan sebagainya.

Lagi pun, menuding jari hanya nampak jari telunjuk sedangkan jari-jari lain menunjuk ke arah kita.

Masalah sosial dan penglibatan anak-anak remaja dalam dadah dan jenayah, beperleseran, tidak sekolah juga wajar ditangani bersama. Jangan panas sekejap sahaja.

Sudah sampai masa kita kembali kembali menghangatkan kempen bahaya dadah yang sejak kebelakangan semakin ‘hilang’.

‘Kehadiran’ dadah sintetik amat merbahaya kepada generasi muda dan membiarkan sahaja budak-budak hingusan terlibat sebenarnya menjadi ‘dosa’ kepada kita.

Iktibar mana lagi yang kita mahu dustakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast