Waris jemaah haji, Jasliza Begum Mohammad Bashir, 35, yang kehilangan ibunya ketika mengerjakan ibadah haji di Makkah.
SHAH ALAM – “Ibu sangat gembira, takkan balik lagi,” demikian pesanan terakhir seorang jemaah haji, Jante Biby Mohd Shariff, 67, kepada anak perempuannya sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung pada 6 Septmeber lalu.
Jasliza Begum Mohammad Bashir, 35, yang ditemui di kediamannya di sini berkata, itu pesanan terakhir ibunya dalam perbualan telefon sebaik sahaja Jante Biby berada di tanah suci Mekah.
“Dia dalam keadaan baik, saya sempat bercakap dengan dia, ada perbualan telefon terakhir ketika dia di Mekah. Dia kata dia sangat gembira di sana dan dia kata takkan balik, di sihat sampai di Arafah dan Mina tiba-tiba jatuh sakit.
“Dia meninggal dunia Rabu lepas, pukul 2 petang waktu Arab Saudi, apa yang saya tahu dia kena serangan jantung di Mina dan dimasukkan di wad kecemasan selama tiga hari sebelum meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Hijauan Saujana, di sini, hari ini.
Waris jemaah haji, Jasliza Begum Mohammad Bashir, 35, cuba menahan sebak ketika berkongsi saat terakhir sebelum ibunya meninggal dunia di Makkah.
Jasliza Begum berkata, walaupun sedar sebelum ibunya berangkat ke tanah suci Makkah sudah pun mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun dia tidak mengadu sakit-sakit lain kepadanya.
“Dia cuma ada kencing manis dan darah tinggi saja. Dia tak mengadu sakit apa-apa. Dia hanya bagi tahu kakak saudara saya sebelum dia meninggal dunia yang dia letih dan nak tidur.
“Itu saja pesanan akhir dia. Dia sempat ambil wuduk dan nak sembahyang tapi dia tak sihat dan terus tidur,” katanya.
Berita kematian ibunya turut disampaikan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) pada 6 September lalu kira-kira 11.30 malam melalui panggilan telefon.
“Tapi saya sudah tahu lebih awal daripada waris yang berada di sana,” katanya dalam keadaan sebak.
Katanya, ibunya pergi mengerjakan ibadah haji dalam kumpulan yang mengandungi enam orang, terdiri daripada dua adik-beradiknya, seorang kakak ipar, menantu kakak ipar dan seorang anak saudaranya.
“Sepatutnya dia balik ke tanahair pada 13 September lepas, yang lain semua sudah balik (selamat),” ujarnya.
Jasliza Begum turut merakamkan penghargaan kepada TH yang membantu menguruskan jenazah ibunya hingga menyempurnakan pengkebumian di Tanah Perkuburan Syara’ie di Arab Saudi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast