Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke 20 (COSH2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). foto SAFWAN MANSOR, 18 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Kerajaan menggubal Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan 2016-2020 (OSHMP 2020) bagi memberi tumpuan kepada penerapan nilai budaya pencegahan untuk mencapai budaya kerja selamat dan sihat dalam kalangan majikan dan pekerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, OSHMP 2020 telah mengenal pasti beberapa objektif yang perlu dicapai termasuk pengurangan kadar kematian kepada 4.36 bagi setiap 100,000 pekerja.

Menurut beliau, objektif itu juga mencakupi pengurangan kadar kemalangan kepada 2.53 bagi setiap 1,000 pekerja dan kedua-duanya boleh direalisasikan dengan kerjasama, komitmen dan dedikasi semua pihak.

“Kerjasama jitu ini perlu diteruskan dan ditambahbaik keselamatan serta kesihatan tempat kerja di Malaysia.

“Saya bangga dengan Kementerian Sumber Manusia yang mengambil pelbagai inisiatif mencapai matlamat itu terutama dalam memastikan modal insan diambil kira untuk menghasilkan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang baik.

“Kita juga mahu meningkatkan produktiviti dan bilangan pekerja berkemahiran tinggi,” katanya berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali ke-20 (COSH 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, adalah satu keutamaan pekerja berkemahiran tinggi dijamin haknya terhadap keselamatan dan persekitaran kerja yang sihat.

Ujar beliau, latihan keselamatan kepada pekerja juga elemen penting untuk mencapai program keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. – MalaysiaGazette