Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee How Kim, 26, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan. Tertuduh membayar denda tersebut.
Lee didakwa menggunakan aplikasi FB atas nama Raymond Lee secara sedar telah memuat naik gambar borang saman trafik dan gambar cermin pintu kereta yang ditampal dengan penghadang cahaya serta memulakan penghantaran komen yang palsu dengan niat menganiaya orang lain.
Dia melakukan kesalahan itu di Bandar Putera Permai, Seri Kembangan, pada 4.10 petang, 6 September lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Lee yang diwakili peguam Kee Wei Lon memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf dan tiada rekod kesalahan lampau.
“Tertuduh adalah penanggung utama keluarga, dia tiada rekod kesalahan lampau selain tidak mendatangkan kecederaan kepada sesiapa,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Kheat Mee memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh supaya dapat memberi mesej kepada masyarakat.
Mengikut fakta kes, hasil siasatan mendapati bahawa akaun FB bernama Raymond Lee adalah milik tertuduh seperti disahkan oleh rakan-rakannya dan laporan analisa Digital Forensik turut mengesahkan terdapat gambar buang saman trafik dan gambar cermin pintu kereta daripada telefon bimbit milik tertuduh yang dirampas. – MalaysiaGazette