Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Muhamad Rafi.

KUALA LUMPUR – Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan program Better Beer Festival 2017 disifatkan sebagai langkah tepat kerana penganjurannya bukan budaya untuk orang Timur.

Malah keputusan tegas itu memberi jaminan dan hak kepada warga kota yang inginkan persekitaran sosial yang lebih selamat dan bertamadun, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii.

Menurutnya, Better Beer Festival adalah budaya Barat yang tidak perlu dianjurkan di Malaysia kerana umum mengetahui bahawa Islam adalah agama rasmi di Malaysia.

“Perlu diketahui juga bahawa negara lain di benua Asia seperti Jepun, China, Hong Kong Singapura dan India tidak terhegeh-hegeh menganjurkan pula seperti sesetengah pihak di sini.

“Keputusan DBKL tersebut adalah tepat memandangkan penganjuran festival arak ini bukanlah budaya kita sebagai orang timur dan ianya lebih bersifat barbarian (tidak bertamadun),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, pada tahun 2014, permohonan yang sama pernah disuarakan oleh penganjur kepada kerajaan PKR Selangor dan dalam masa yang sama telah membangkitkan kemarahan dan bantahan berterusan rakyat negeri tersebut.

Katanya, desakan ahli-ahli Parlimen DAP dan PKR di Kuala Lumpur yang mengecam tindakan DBKL dan dalam masa yang sama menganggap festival itu sebagai kebebasan kepada setiap warga Malaysia untuk meraikannya perlu ditentang.

“Mereka sepatutnya lebih sensitif kepada orang Islam yang sememangnya tidak mahu festival sebegini diadakan.

“Rakyat Malaysia bukan Islam dan orang Melayu terutamanya telah sedar bahawa agenda utama yang dibawa oleh DAP dan sekutunya adalah untuk meruntuhkan moral rakyat Malaysia secara mutlak.

“Kami percaya bahawa tindakan menolak penganjuran ini disokong oleh majoriti rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mohd Razlan menambah, festival yang diingi DAP itu dibimbangi akan mendatangkan lebih banyak keburukan dan kemudaratan daripada kebaikan kerana rata-rata yang hadir pasti akan berada dalam keadaan mabuk dan akhirnya tidak terkawal.

“Maka perlakuan jenayah seperti pergaduhan, seks bebas, kecurian dan sebagainya boleh berlaku apabila ianya tidak ditegah dari awal.

“Nak minum arak, pergilah cari tempat yang sesuai dan minumlah dengan baik serta tidak menyusahkan orang lain,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.