I
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak menolak kemungkinan membawa usul mengkaji semula sistem pendidikan negara ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO berhubung penekanan nilai murni dalam pembentukan sahsiah pelajar.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan nilai murni dalam kalangan pelajar kian terhakis susulan tragedi kebakaran Pusat Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung akibat perbuatan khianat tujuh remaja.

“Menteri Pendidikan kena tengok balik perkara ini, semak balik kurikulum, Pendidikan Sivik pula tidak diberikan penekanan lagi hari ini. Kita kena semai nilai murni dalam kalangan pelajar, bagi pelajar Islam (sudah ada) ajaran dan nilai Islam.

“Dulu kalau bertengkar sesama remaja, kita tak sampai nak bakar rumah orang. Sekarang ini siap dengan tong gas pergi bakar, kenapa berlaku…sebab tiada nilai murni, ibu bapa mereka sendiri tiada nilai murni itu.

“Kita kembali kepada sistem pendidikan, kembali kepada pengabaian pendidikan agama,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sabtu lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa pada 14 September lalu berpunca daripada perbuatan khianat.

Perkara itu terbongkar apabila tujuh remaja berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun ditahan polis pada jam enam petang sehingga jam 2.30 pagi, pada Sabtu lepas.

Mengulas lanjut, Adnan berkata lagi, sekiranya aspek nilai murni dikembalikan ke dalam sistem pendidikan negara, sikap saling hormat-menghormati akan kembali dalam masyarakat negara ini.

“Dulu pergi sekolah cikgu anggap macam anak sendiri, nasihat, mak ayah begitu juga, jangan buat jahat, ibu bapa pesan anak-anak jangan mencuri atau ambil barang orang lain, hormati guru dan orang tua.

“Sekarang tiada lagi, ini semua kembali kepada latar belakang keluarga, inilah masalah utama kita. Kalau setiap keluarga menekankan penyemaian nilai murni, kita akan ada masyarakat yang baik, dan negara yang sangat baik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast