Reaksi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama ibunya, Datuk Rahmah Abdul Hamid ketika menghadiri program Berjalan Demi Keamanan anjuran Persatuan Wanita Rantau Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA) di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 21 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – “Kita perlu mengajar generasi muda sekarang supaya bercakap mengenai isu-isu kemanusian seperti penghapusan etnik Rohingya perlu sentiasa dibawa ke tengah,”

Itu kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ketika berucap sebelum melepaskan larian aman Persatuan Wanita Rantau Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA) di sini hari ini.

Katanya, Malaysia tidak pernah bersetuju dengan kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya dan setiasa membawa suara ke peringkat lebih tinggi supaya isu tersebut dapat diselesaikan segera serta tidak mahu ia berlaku kepada mana-mana negara sekali pun.

Tambah Khairy, perjuangan isu tersebut tidak harus berhenti dan perlu diteruskan termasuk oleh golongan muda yang tidak pernah mengalami nasib yang teruk seperti etnik Rohingya.

Menurut beliau, kebanyakan golongan muda sering mengambil mudah mengenai keperluan untuk mempertahankan keamanan negara dan tidak mengalami nasib yang sama dengan rakyat negara lain seperti etnik Rohingya, Syria dan Palestin.

Jelasnya, generasi yang lebih tua perlu mengingatkan golongan muda mengenai kesukaran untuk mendapatkan kemerdekaan dan membangunkan sebuah negara yang aman dan makmur.

Ini bagi membolehkan golongan muda yang sering mengambil mudah mengenai keamanan negara dapat disedarkan.

“Etnik-etnik Rohingya dinafikan haknya. Mereka tidak dilayan dengan sewajarnya sebagai seorang manusia dan tidak seperti rakyat Malaysia yang sangat bertuah lahir dan hidup dalam negara aman dan makmur.

“Namun begitu, apabila dilahirkan dalam negara yang aman dan makmur, ramai mengambil mudah mengenai keperluan untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara kita sedangkan untuk mengekalkannya kita perlu sentiasa berusaha keras,” ujarnya lagi.

Turut hadir Presiden PPSEAWA, Datuk Rahmah Abdul Hamid yang juga ibu Khairy dan isterinya, Nori Tun Abdullah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast