KUALA LUMPUR –  Biro Kebajikan UMNO Malaysia hari ini melancarkan program UMNO Bantu Rakyat siri kedua dengan mensasarkan kepada 60 kawasan untuk menyantuni 60,000 rumah sasaran di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, program ini adalah kesinambungan siri pertama untuk memperkukuhkan imej parti yang mengutamakan kebajikan rakyat, sesuai dengan perjuangan UMNO yang membela rakyat sepanjang masa.
“Kita harap melalui program ini dapat melaksanakan program dan aktiviti sebagai pelengkap kepada pelbagai gerak kerja parti yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam usaha membela dan membantu rakyat.
“Ia bukan hanya satu-satunya program UMNO membantu rakyat, tapi banyak lagi program lain, tapi ini program dilaksanakan sebagai mana diarahkan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan dilancarkan oleh Presiden UMNO,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BIKUM), Villa Putra Condo, di sini, hari ini.
Pada 19 Mei lepas, Perdana Menteri melancarkan Program UMNO Bantu Rakyat Fasa Pertama yang akan menjelajah ke 71 lokasi tumpuan untuk menyantuni 300,000 kumpulan sasar.
Beliau juga berkata, program ini akan melibatkan semua jentera UMNO Bahagian yang dilawati dan mereka akan menentukan lokasi sasaran yang memerlukan bantuan, khusus di kawasan luar bandar.
“Sasarannya kita letakkan tanggungjawab kepada pimpinan di peringkat bahagian kerana mereka lebih memahami dan mengetahui siapa dan pihak mana yang perlu kita lawati.
“Tapi masih lagi kepada mengutamakan kumpulan miskin, ibu tunggal, pelajar sekolah dan kumpulan-kumpulan yang sepatutnya kita berikan perhatian dan sokongan,” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya tidak menolak akan mengubah jadual dan tarikh sekiranya sepanjang tiga bulan program itu berjalan berdepan kekangan termasuk fenomena cuaca dan sebagainya.
“Kalau waktu kita laksanakan program ini ada banjir dan sebagainya, kita akan ubah jadual kerana antara tanggungjawab besar kita ialah melaksanakan program-program bantuan bencana ke seluruh negara.
“Kawasan-kawasan yang kita pilih ini ialah ia sesuai untuk kita pergi dan kali ini program kita berbeza sikit,” ulasnya.
Jelasnya, pihaknya memperuntukkan lebih RM150,000 bagi setiap kawasan yang dikunjungi pasukan UMNO Bantu Rakyat berkenaan dan jumlah itu berbeza mengikut kawasan dan jumlah penduduk terlibat.
“Di setiap lokasi, kita memperuntukkan lebih daripada RM150,000 malah ada sesetengah tempat mencecah RM200,000,” ujarnya.
Antara program yang disusun dalam program siri kedua ini ialah pemberian 20,000 akaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar-pelajar tahun pertama, klinik motosikal percuma anak-anak muda dan golongan yang memerlukan.
Selain itu katanya, program UMNO Bantu Rakyat juga melaksanakan program pemeriksaan dan membaik pulih pendawaian elektrik di rumah-rumah dipilih dengan bantuan pelajar-pelajar daripada Giat MARA.
Bagi memastikan rakyat memerlukan terbela, beliau berkata pihaknya turut menyediakan pasukan perubatan yang memberi khidmat pemeriksaan dan pemberian ubat-ubatan secara percuma.
“Kita ada pasukan perubatan yang dianggotai oleh beberapa orang doktor dan pembantu perubatan dengan membuka klinik di kawasan tertentu dan juga bergerak rumah ke rumah sasaran.
“Kita akan bagi ubat saja dan kalau ada kes-kes susulan kita akan panjangkan dan bawa ke pihak institusi yang patut mereka terima rawatan,” katanya.
Shamsul Anuar turut melepaskan konvoi menggunakan 25 kenderaan pacuan empat roda yang akan menyantuni kumpulan sasar selama lebih tiga bulan bermula di Pahang dan berakhir di Selangor.
Antara lokasi program siri kedua ini ialah enam lokasi di Pahang, Johor, Kelantan, Kedah, Perlis, Melaka, Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Perak dan berakhir di Selangor. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast