Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohd Mansor Mohd Nor berkata, sejurus selepas kejadian mangsa berusia 37 tahun telah dikejarkan ke Hospital Temerloh bagi tujuan rawatan manakala suspek berusia 46 tahun kini telah dipindahkan ke bilik pengasingan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 2.05 petang ketika mangsa dan tiga lagi warden penjara diarah memindahkan banduan akhir itu ke blok lain bagi tujuan pengasingan dan siasatan.
“Bagaimanapun, banduan itu enggan digari dan telah bertindak agresif dengan menyerang kesemua pegawai penjara berkenaan. Mangsa dan rakan yang lain cuba menghalang menyebabkan berlaku pergelutan.
“Bagaimananapun, dalam pergelutan itu, mangsa telah ditumbuk di bahagian muka menyebabkannya terjatuh ke lantai dan ketika itu banduan berkenaan terus menyerang dengan menindih bahagian belakang badan sebelum menggigit telinga sebelah kiri mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Melihat keadaan itu, tiga pegawai lain terus membantu dan terpaksa menggunakan kekerasan untuk melepaskan mangsa daripada terus digigit oleh banduan berkenaan.
“Akhirnya banduan tersebut berjaya ditumpaskan dan digari sebelum membawanya ke blok berasingan. Mangsa yang putus cuping telinga bahagian kiri ( sepanjang dua inci) kemudian telah dibawa ke Hospital Bentong sebelum dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Mansor berkata, banduan itu sebelum ini dipindah ke Penjara Bentong pada tahun 2016 setelah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 16 Ogos 2005 atas kesalahan mengedar dadah di bawah 39B (1) Akta Dadah Bahaya (ADB) 1952.
“Suspek pernah ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, Penjara Marang, Penjara Simpang Renggam dan beberapa penjara lain sebelum dipindahkan ke Penjara Bentong sementara menanti masa untuk menjalani hukuman pada waktu yang ditetapkan kemudian,” katanya.
— BERNAMA