Sebahagian mereka yang ditahan dalam satu pesta yang dipercayai melibatkan penyalahgunaan dadah di sebuah banglo di satu kelab golf di Kempas, Johor.

JOHOR BAHRU – Seramai 74 orang termasuk 26 wanita ditahan polis dalam satu pesta yang dipercayai melibatkan penyalahgunaan dadah di sebuah banglo di satu kelab golf di Kempas tengah malam tadi.

Daripada jumlah yang ditahan dalam pesta Proqtext Zeus itu, seramai 22 orang masing-masing 16 lelaki dan 6 perempuan didapati positif dadah, ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Empat orang daripada yang ditahan itu turut disiasat di bawah Seksyen 12(3)ADB 1952 kerana memiliki dadah dan 9 orang disiasat di bawah Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor kerana menganjurkan hiburan tanpa lesen sah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, semasa serbuan pada 12.30 tengah malam itu, polis mendapati 74 orang berusia antara 16 hingga 33 tahun sedang berhibur di banglo itu.

“Polis mendapati parti tersebut dicemari dengan memainkan muzik kuat dan penyediaan minuman keras dan polis turut merampas 8 biji pil ekstasi,
12 biji pil Eramin 5 dan sepaket serbuk dadah diperayai jenis ketamin.

“Beberapa peralatan muzik serta 42 pas masuk untuk menyertai parti tersebut turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati, seorang lelaki berusia 21 tahun, wanita berusia 25 tahun dan enam lelaki disyaki sebagai penganjur dan pembantu penganjur ditahan.

Tambahnya, siasatan polis juga mendapati,
penganjur mengenakan bayaran sebanyak RM20 daripada setiap perserta perempuan dan RM30 setiap peserta lelaki.

Sehubungan itu, Mohd. Taib memberitahu, polis akan terus memantau kegiatan yang boleh menjerumuskan golongan muda dalam aktiviti negatif seumpama itu yang pernah dianjurkan di Tanjung Sepat, Kota Tinggi pada Mei lalu.

“Sehubungan itu orang ramai disaran untuk turut membantu pihak polis menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti sebegitu di kalangan golongan muda,” katanya. – MalaysiaGazette.