Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (tiga kiri) membuat pertukaran dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif SMRT Corporation, Desmond Kwek (empat kanan) dengan disaksikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (tiga kanan) pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Pasarana Malaysia Berhad dan SMRT Corporation Ltd yang diadakan di Menara UOA Bangsar. foto SAFWAN MANSOR, 25 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – “Saya sudah mengadap baginda Sultan Johor untuk memaklumkan mengenai projek Sistem Transit Rapid Johor Bharu- Singapura (RTS Link) termasuk mengenai rekaan jambatan yang sebelum ini mendapat perhatian baginda,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Tambah Abdul Rahman, beliau juga akan memberi taklimat dari masa ke semasa kepada baginda.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman mewujudkan syarikat usahasama (CopCo) RTS Link di antara Prasarana Malaysia Bhd. dengan SMRT Corportion Ltd.

Projek usahasama di antara kerajaan Malaysia dan Singapura itu akan dimulakan pada 2019 dan dijangka siap menjelang 2024.

Bagaimanapun tiada butiran terperinci termasuk rekaan muktamad mahupun anggaran kos dapat dikongsi oleh Abdul Rahman kerana perjanjian bilateral di antara kedua-dua negara hanya akan dimeterai pada 31 Disember ini.

“Kami belum memuktamadkan rekaan dan berhubung kebimbangan Sultan Johor mengenai kemungkinan jambatan yang akan dibina bakal menggangu pemandangan Selat Tebrau, kami juga menyediakan beberapa rekaan alternatif.

“Kami juga mengambil maklum pandangan dan idea-idea yang telah dilontarkan Tuanku semasa pertemuan saya dengan baginda sebelum ini,” katanya.

Menyentuh mengenai CopCo di antara Prasarana dengan SMRT Corp. dari Singapura, Abdul Rahman berkata, salah sebuah syarikat akan memiliki pegangan majoriti bagi memudahkan urusan membuat keputusan.

“Kami bersetuju bahawa ada satu pihak yang akan memiliki lebihan pegangan untuk membentuk majoriti kerana pada kebiasaannya, apabila pegangan 50:50, sesebuah syarikat sukar untuk membuat keputusan,” katanya namun tidak mendedahkan pihak mana yang bakal memiliki kepentingan majoriti.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, syarikat tersebut mendapat jaminan kerajaan bagi membiayai kos projek. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast