Timbalan Pengarah Operasi (Aduan) Bahagian Operasi Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Celemans Kasim (dua kanan) memberi penerangan kepada aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi (tiga kiri) serta yang lain selepas menyerahkan laporan aduan berhubung kes penipuan oleh DBI Technology kepada di Ibupejabat Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 26 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan bekerjasama merungkai kemelut penipuan skim rumah ditawarkan oleh DBI Technology.

PPIM petang tadi dipanggil Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md. Sam untuk mengadakan perbincangan mengenai kes terbaharu yang dikendalikan oleh NGO tersebut bagi membantu mangsa-mangsa penipuan mendapatkan semula wang mereka.

“Kami hari ini dipanggil oleh Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob untuk membincangkan kes terbaharu melibatkan penipuan rumah.

“Kami serahkan hampir 400 lebih aduan daripada mangsa kepada EAIC dan kami mendapat jaminan daripada pihak agensi yang akan bekerjasama dengan PPIM untuk mencari punca dan membuktikan modus operandi kumpulan ini yang menipu rakyat seluruh Malaysia,” kata aktivis PPIM, Yusuf Azmi semasa sidang media sejurus selesai pertemuan di pejabat EAIC di sini petang tadi.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi bercakap ketika sidang media ringkas selepas menyerahkan laporan aduan berhubung kes penipuan oleh DBI Technology kepada di Ibupejabat Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 26 SEPTEMBER 2017.

Yusuf melahirkan penghargaan kepada pihak EAIC khususnya Yaacob kerana kesudian menjemput PPIM untuk mendengar sendiri aduan mengenai kes penipuan yang dikendalikan pihaknya dan berharap dengan kerjasama itu dapat menumpaskan sindiket penipuan berkenaan.

“Pengerusi (Yaacob) begitu concern dengan permasalahan ini dan kami harap lebih ramai agensi seperti yang dapat tampil dan membantu kami menumpaskan sindiket macam ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, wakil peguam PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim yang juga turut serta dalam pertemuan itu memberitahu, pihak EAIC juga bakal menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau siasatan melibatkan penipuan yang dijalankan oleh DBI Technology.

“Pihak EAIC memberi jaminan akan membantu mangsa-mangsa yang ada, mereka akan tubuh satu task force untuk siasat secara terperinci kes penipuan ini.

“Kami beharap ini akan dapat merungkai permasalahan dan penipuan dilakukan oleh syarikat ini,” ujarnya.

Jelas Hishamuddin lagi, pihak EAIC akan membuat pemantauan terhadap laporan-laporan polis yang dibuat oleh mangsa penipuan DBI Technology tetapi tiada sebarang tindakan susulan diambil sehingga hari ini masih belum ada individu yang dibawa ke muka pengadilan.

“EAIC beri jaminan akan melihat semua laporan polis yang dibuat oleh mangsa, sama ada ia berjalan atau siasatan tidak diteruskan, mereka akan cari punca jika tiada siasatan diteruskan.

“Jika dengan pertemuan ini tidak juga berjaya menangani sindiket penipuan ini, kita akan buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) selepas ini,” katanya lagi.

Skim yang dimaksudkan itu dikendalikan syarikat milik Datuk Boy Iman atau Norul Iman  terbongkar selepas sebuah laman popular di Facebook, PW Community menyiarkan dakwaan syarikat itu menipu orang ramai dengan menggunakan helah menerusi skim piramid.

DBI Technology merupakan syarikat yang ditubuhkan Boy Iman selepas meninggalkan DBI Properties, syarikat yang pernah menjadi ejen pemasaran kepada pemaju yang disyaki bertanggungjawab menawarkan banglo berharga 60,000 seunit.

Boy Iman bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Malahan, pelakon itu membuat laporan polis ke atas pengendali Facebook PW Community dan media yang didakwa memfitnah dan menyebabkan syarikatnya rugi.

Satu pertemuan juga diadakan antara mangsa-mangsa yang ditipu Boy Iman sehingga tercetus kekecohan apabila beliau gagal menjawab setiap persoalan ditimbulkan oleh pelabur berhubung janji syarikatnya untuk membina rumah. – MalaysiaGazette

UTK PPIM Jejak Dalang Tipu Mangsa Beli Rumah (VIDEO)