Home Nasional Penahanan Mustafa Akyol cemar reputasi negara – Suhakam

Penahanan Mustafa Akyol cemar reputasi negara – Suhakam

KUALA LUMPUR – Insiden tangkapan dan penahanan selama 17 jam seorang wartawan, pengarang dan penceramah awam warga Turki yang dihormati di peringkat antarabangsa mencemarkan reputasi Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kesederhanaan seperti yang diperakui di peringkat antarabangsa.

Sebaliknya, tindakan ke atas Mustafa Akyol itu menimbulkan keraguan yang serius dalam kalangan rakyat Malaysia tentang tindakan yang diambil dan sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, pihaknya tidak melihat tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mencerminkan dasar kerajaan yang dibenarkan untuk mengambil langkah sewenang-wenangnya, dalam mempertahankan prinsip yang berdasarkan tafsiran mereka.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, dalam konteks kepelbagaian agama, budaya dan kesederhanaan Malaysia, tindakan seumpama itu merupakan sesuatu yang menindas, tidak demokratik dan bertujuan ancaman.

Katanya, kerajaan harus menghentikan perkara sebegini kerana ia mencerminkan permusuhan, pemikiran sempit dan tidak bertoleransi dari sudut intelektual dan agama.

“Tindakan sedemikian hanya menggalakkan pihak yang yang bersikap bertentangan (perkauman) mempunyai perasaan bahawa mereka lebih ulung atau mempunyai kelebihan berbanding pihak yang lain.

“Manakala rakyat pulamendapat gambaran bahawa kerajaan tidak berkecenderungan untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, kerajaan dinasihatkan supaya melihat kembali ekstremisme agama kerana dibimbangi Malaysia akan berubah ke arah yang lebih buruk jika situasi seperti ini berterusan.

Akyol dilaporkan berada di negara ini bagi menyampaikan syarahan bertajuk ‘The Islamic Jesus: The Commonalities Between Judaism, Christianity and Islam’ di Nottingham University Malaysia pada 2.30 petang, Isnin.

Bagaimanapun, syarahan yang dianjurkan Islamic Renaissance Front itu dilapor dibatalkan selepas Akyol dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada Ahad. – MalaysiaGazette